Pasukan keselamatan melakukan kerja-kerja mengesan dan menyelamat selepas Maghribi dilanda gemoa bumi. foto Morocco World News

KUALA LUMPUR – Tiada ada rakyat Malaysia yang dilaporkan menjadi mangsa dalam kejadian gempa bumi di Maghribi.

Menteri Luar Datuk Seri Dr. Zamry Abdul Kadir berkata, beliau telah menghubungi Duta Besar Malaysia ke Maghribi Datuk Astanah Abdul Aziz bagi mendapatkan maklumat perkembangan terkini kejadian.

“Beliau memaklumkan kepada saya, sehingga kini tiada laporan yang melibatkan rakyat Malaysia.

“Semua rakyat Malaysia yang dihubungi setakat ini berada dalam
keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan.

Pusat Geofizik Maghribi sebelum ini memaklumkan gempa berlaku sejurus selepas jam 11 malam itu berukuran 7.2 magnitud yang menggegarkan Ighil di Pergunungan Atlas.

Ighil merupakan kawasan perkampungan pertanian kecil yang terletak kira-kira 70 kilometer (km) barat daya bandar Marrakech.

Zambry berkata, beliau akan menghubungi rakan sejawat di negara itu bagi menghulurkan bantuan.

“Saya juga akan menghubungi rakan sejawatan saya, Menteri Hal Ehwal Luar Maghribi, Nasser Bourita bagi mendapatkan maklumat terkini bencana yang berlaku dan seterusnya menawarkan bentuk bantuan yang akan diperlukan sehingga kini.

“Salam takziah kepada Kerajaan Maghribi dan semua mangsa yang terlibat dalam bencana gempa bumi ini. Saya titipkan doa buat semua rakyat Maghribi,” katanya.

Media melaporkan, jumlah korban gempa bumi kuat yang melanda Maghribi lewat malam kelmarin, terus meningkat melepasi 2,000 mangsa kini, manakala lebih 2,000 lagi mengalami kecederaan dengan ramai yang parah.

Kementerian Dalam Negeri Maghribi dalam satu kenyataan, semalam, berkata sekurang-kurang 2,012 kematian telah disahkan dan 2,059 mangsa cedera, termasuk 1,404 berada dalam keadaan kritikal.

Jumlah itu mencakupi 1,293 korban direkodkan di wilayah Al-Haouz yang juga pusat gempa kali ini, dan 452 di wilayah Taroudant – dua kawasan paling terkesan dalam bencana gempa bumi paling berdarah sepanjang tempoh lebih enam dekad di Maghribi.-MalaysiaGazette