HULU KELANG – Pembinaan baharu Surau Abu Hurairah di Zoo Negara yang mengambil masa 45 hari untuk disiapkan bakal memberi keselesaan kepada para pengunjung.
Surau baharu ini dijangka mampu menampung 100 jemaah pada satu-satu masa.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, pembangunan semula surau ini bagi menggantikan surau lama sudah usang.
“Kos keseluruhan naik taraf surau ini sebanyak RM180,000, ditanggung melalui dana tanggungjawab sosial korporat Bank Islam dan inisiatif kewangan sosial, Sadaqa House,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu beliau bersama Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Pertahanan, Dr Mohd Bakhari Ismail dan Presiden Zoo Negara, Datuk Seri Zaharin Md Arif merasmikan Surau Abu Hurairah, di sini, hari ini.
Surau berkenaan telah dibuka kepada umum pada 29 Jun lalu dan dibina dengan kerjasama Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Malaysian Zoological Society.
Ia dibina di lokasi baharu yang lebih strategik berdekatan dengan restoran, dilengkapi dengan pelbagai kemudahan serta mesra pengguna sesuai untuk warga emas dan kelainan upaya (OKU).
Menurut Mohd Bakhari, projek pembinaan surau itu telah lama dilaksanakan namun akibat pandemik Covid-19, ia tertangguh.
“Walaupun projek ini telah tertangguh dari 2020 disebabkan pandemik, tetapi akhirnya kita berjaya melaksanakan dalam tempoh yang singkat dengan usaha sama ATM.
“Ia melibatkan kecekapan 24 anggota Pasukan 91 Rejimen Bantuan Rejimen Askar Jurutera Diraja yang diketuai Leftenan Kolonel Norhejeri Samsudin, Mejar Haziq Abdul Jalal dan Leftenan Al Islamil Ahmad,” jelasnya.
Sementara itu, Zaharin pula menzahirkan rasa syukur dengan pembinaan surau tersebut yang ditempatkan di tengah-tengah Zoo Negara.
“Secara tidak langsung usaha pembinaan surau ini dapat dijadikan contoh buat organisasi atau institusi kewangan lain untuk turut membantu kami dalam apa jua bentuk sekalipun,” katanya. – MalaysiaGazette