Empat wanita Myanmar yang menjadi mangsa buruh paksa berjaya diselamatkan dalam satu serbuan di Puchong hari ini oleh JSJ Bukit Aman.

KUALA LUMPUR – Seramai empat wanita warga Myanmar yang dieksploitasi menjadi pelayan pusat hiburan tanpa lesen di Bandar Puchong berjaya diselamatkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dalam serbuan hari ini.

Ketua Penolong Pengarah Antipemerdagangan Manusia dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) Jabatan Siasatan Jenayah (JSI) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, serbuan itu telah dijalankan pukul 10.40 pagi hasil maklumat dan risikan yang dijalankan sejak beberapa hari lalu.

“Siasatan kami mendapati kesemua wanita asing yang diselamatkan itu adalah berusia antara 15 hingga 31 tahun.

“Salah seorang daripada mangsa adalah wanita bawah umur dan dijadikan pelayan atau GRO untuk pelanggan lelaki warga asing sejak lima hari lalu,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Empat suspek lelaki yang ditahan polis Atipsom dan menyelamatkan empat wanita asing yang dijadikan buruh paksa dalam serbuan di pusat hiburan di Puchong hari ini.- Gambar ihsan JSJ Bukit Aman.

Tambah Fadil, semua wanita yang diselamatkan itu sebelum ini diperdaya bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan gaji RM1,500 sebulan oleh salah seorang daripada tiga suspek lelaki Myanmar yang ditahan.

Suspek utama ini telah memaksa empat wanita itu untuk bekerja sebagai pelayan dan melayani setiap warga asing yang datang berhibur di pub dan karaoke yang diubah suai dari premis rumah kedai itu.

“Selain suspek utama, polis dalam serbuan sama berjaya menahan dua pembantunya yang berusia antara 23 hingga 35 tahun.

“Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati salah seorang mangsa berusia 26 tahun mendakwa dia telah dirogol oleh salah seorang suspek yang ditahan itu.

“Malah hasil pemeriksaan secara keseluruhan kita (polis) telah berjaya menyelamatkan kesemua empat mangsa warganegara Myanmar yang dieksploitasi sebagai buruh paksa dan mereka akan ditempatkan di rumah perlindungan untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Tangkapan ke atas ketiga- tiga suspek warga Myanmar itu dilakukan di bawah Akta ATIPSOM (Akta 670) mengikut Seksyen 12 Akta ATIPSOM 2007 dan Seksyen 14 Akta ATIPSOM 2007.

Katanya, fokus operasi oleh D3, JSJ Bukit Aman, adalah pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang (Eksploitasi buruh paksa) dengan berpandu kepada National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast