Gambar gelandangan yang cedera akibat dibelasah seorang lelaki di ibu negara tengah malam tadi.-Gambar ihsan IPD Dang Wangi.

KUALA LUMPUR – Polis telah menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan selepas disyaki terlibat memukul dan menyebabkan kecederaan kepada seorang gelandangan di sini tengah malam tadi.

Sementara itu, mangsa yang dipercayai seorang warga emas sedang dikesan untuk diselamatkan dan juga tindakan lanjut polis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pada jam lebih kurang 12.11 tengah malam tadi pihaknya menerima laporan berkenaan kejadian seorang gelandangan yang dipukul di Jalan Tun Tan Cheng Lock.

Siasatan polis mendapati kejadian itu telah ditularkan melalui satu ciapan daripada pemilik akaun Twitter @bihanuha di pautan  https://twitter.com/bihanuha/status/1700501504883642560 t=ClYzDvLPQ3q7MrH7Ah4jkg&s=08.

“Bertindak atas maklumat, pada jam lebih kurang 1.46 pagi tadi polis telah berjaya menjejaki dan menangkap suspek lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan dalam kes ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Noor Delhan, suspek berusia 36 tahun itu telah direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan lanjut polis.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera yang boleh membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

“Motif kejadian masih dalam siasatan dan polis sedang berusaha keras untuk mengesan mangsa yang tercedera akibat kejadian pukul itu,” tegasnya. – MalaysiaGazette