HONG KONG – Beberapa rumah agam bernilai berjuta-juta dolar di tebing pantai Hong Kong berisiko runtuh ekoran hujan berterusan sejak minggu lalu.
Hujan telah menghakis tanah dan tebing kediaman di selatan Tai Tam, sebuah lokasi kediaman selebriti dan taikun.
Hujan lebat berterusan minggu lalu mengakibatkan jalan-jalan raya banjir hingga sekolah dan premis perniagaan terpaksa di tutup.
Beberapa penduduk di Semenanjung Redhill pula terpaksa berpindah pada Sabtu akibat tanah runtuh.
Berdasarkan gambar yang tersebar, kelihatan tiga buah rumah berisiko tinggi untuk runtuh.
Hong Kong terdedah kepada banjir dan tanah runtuh kerana banyak bangunan dan jalan raya dibina di cerun curam dan bahaya.
Risiko terhadap kawasan tersebut semakin tinggi ekoran perubahan iklim.
Kos pembinaan rumah mewah di kawasan kejiranan itu boleh mencecah sehingga AS$23 juta.
Sebuah rumah empat bilik tidur seluas 2,773 kaki persegi dijual pada harga AS$11.4 juta pada awal tahun ini, menurut Mansion Global, sebuah laman berita digital yang merangkumi pasaran hartanah global.
Buat masa ini, penduduk di kawasan terbabit diminta mengosong kolam renang demi keselamatan untuk menstabilkan cerun. – Agensi