Tertuduh, Sumardi dan Zulkifli, berdepan hukuman penjara seumur hidup apabila didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas kesalahan menyeludup 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) bulan lalu.

MELAKA – Dua lelaki warga Indonesia berdepan hukuman penjara seumur hidup apabila didakwa menyeludup 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) bulan lalu.

Tertuduh, Sumardi, 25, dan Zulkifli, 51, bagaimanapun hanya mengangguk tanda faham tanpa sebarang pengakuan direkodkan sebaik pertuduhan dibacakan juruhabasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini hari ini.

Mohd Sabri kemudian membenarkan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi selepas dipohon Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Nazrin Ali Rahim untuk perbicaraan kes mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama menjalankan penyeludupan 11 imigran dan dalam melakukan perbuatan itu telah  menimbulkan risiko kematian terhadap imigran terbabit.

Imigran terbabit adalah Mansor Hidayat, Zahari, Irwan Saputra, Khairul, Adlan Zainal Aripin, Aripin, Rizal, Maskrun dan Delsi serta dua lagi yang tidak dijumpai.

Kesalahan itu didakwa dilakukakan pada di kawasan perairan sempadan Malaysia-Indonesia koordinat 02’00.491 utara 102’01.221 timur dalam daerah Melaka Tengah, kira-kira jam 12 tengah hari 15 Ogos lalu.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang lima tahun dan boleh juga dikenakan sebat mengikut Seksyen 26B(C) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan,

Pada 15 Ogos lalu, MalaysiaGazette melaporkan 11 warga Indonesia dipercayai mangsa tongkang karam ditemui terapung di perairan Indonesia sebelum berjaya diselamatkan sebuah feri penumpang.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit dilaporkan berkata, kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu disedari kapten feri Ekspress Indomal yang ketika itu dalam perjalanan dari Dumai, Indonesia.

Semasa berada di sempadan perairan Indonesia, kapten feri terbabit terlihat seramai 11 orang iaitu 10 lelaki dan seorang wanita warga Indonesia terapung di permukaan laut.

Kapten dan kakitangan feri kemudian menyelamatkan semua mangsa yang masih hidup menaiki feri dan menuju ke jeti Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), di Kota Laksamana.

Seorang mangsa perempuan berusia 29 tahun turut mengalami sesak nafas akibat lemas kemudian dirujuk ke Hospital Melaka, namun keadaannya dilaporkan stabil. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast