KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyifatkan rakyat Borneo di Sabah dan Sarawak hebat kerana setia menunggu dan menyambut kedatangannya sempena konvoi Kembara Kenali Borneo.

Baginda terharu melihat sambutan sepanjang perjalanan dari Tawau ke Sibu sejak 3 September yang lalu.

“Saya telah sampai ke Sibu hari ini rasa cukup terharu, dari hati ikhlas saya tak terkata lagi memang terbukti rakyat Borneo ini cukup-cukup hebat sekali kerana sanggup menunggu kita dengan isteri dan keluarga saya,” titah baginda semasa Majlis Santapan di Dewan MUC di Kampung Bandong, Miri semalam.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing serta Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

YDPA dan Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah akan meneruskan Kembara Kenali Borneo dengan pelbagai aktiviti yang bakal berakhir esok.

Berangkat sama dalam Kembara Kenali Borneo di Sarawak ialah anakanda baginda, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut serta, Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast