Ketua Gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap penganjur perhimpunan haram Bersih 2.0 di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini. Foto Adam

KUALA LUMPUR – Kumpulan Baju Merah tidak teragak-agak turun ke jalanan dan bertembung dengan penyokong Perikatan Nasional (PN) jika mereka mahu meneruskan demostrasi, Sabtu ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, beliau akan mengerakkan ribuan ahlinya di bawah Gabungan NGO Malaysia bagi menghalang tunjuk perasaan itu menjejaskan keharmonian negara.

“Pemuda PN nak buat demo depan Sogo 16 September ini.

“Jom Baju Merah turun juga selamatkan negara daripada puak PN,” katanya melalui hantaran terbaru di akaun Facebooknya, hari ini.

Ahad lalu, Pemuda PN akan menganjurkan himpunan awam simbolik bermulanya kempen Gerakan Selamatkan Malaysia pada Hari Malaysia yang akan disambut pada 16 September ini.

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, himpunan tersebut sebagai bantahan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengurniakan DNAA kepada Ahmad Zahid dan menggugurkan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akal Budi pada 4 September lalu. – MalaysiaGazette