Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bekas pengurus kanan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditahan kerana disyaki terlibat dengan tuntutan palsu kerja-kerja penggantian tiga jenis paip di sebuah kilang berasaskan produk minyak sawit yang tidak wujud.

Tuntutan tersebut melibatkan jumlah keseluruhan lebih kurang RM26,000.

Suspek, lelaki berusia 40-an ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Tawau kira-kira 10.30 pagi tadi.

Suspek dikatakan melakukan tuntutan palsu berkenaan antara November 2017 hingga Januari 2018.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan dilepaskan dengan jaminan berjumlah RM5,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, suspek akan dituduh esok di Mahkamah Khas Rasuah Tawau, Sabah.-MalaysiaGazette