Najib Arul
Empat perbezaan ayat dalam laporan audit 1MDB. - Gambar: Facebook Najib Razak

KUALA LUMPUR – Hanya disebabkan empat perbezaan ayat, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) didakwa dan terpaksa naik turun mahkamah.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak berkata, mereka juga terpaksa menanggung kos guaman selama empat tahun atas tuduhan mengarahkan Ketua Audit Negara meminda laporan audit 1MDB.

Katanya, Najib juga perlu menghadapi persepsi selama lima tahun kononnya beliau menukar laporan audit bagi menyorok kebenaran dalam kes 1MDB.

“Luangkan sedikit masa untuk baca perbezaan tersebut yang dinyatakan dalam dokumen mahkamah.

“Baca dan nilaikan sendiri dengan hati yang terbuka: Adakah perbezaan-perbezaan ini signifikan?” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Hari ini, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan membebaskan bekas Najib dan Arul Kanda berhubung tuduhan meminda Laporan Pengauditan Akhir 1MDB.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak memberitahu, sepanjang perbicaraan berlangsung, sedikit demi sedikit, berdasarkan kenyataan yang diberikan oleh saksi-saksi pendakwaan yang dipanggil sememangnya menunjukkan bahawa pindaan yang dibuat ke atas laporan audit tersebut adalah tidak penting, remeh dan kecil.

Malah, katanya, bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang ketika itu telah menegaskan bahawa beliau telah bertindak serta menjalankan tugasnya tanpa menerima sebarang tekanan mahupun arahan daripada mana-mana pihak.

“Sebab ramai yang hanya baca tajuk berita tanpa mengikut perkembangan perbicaraan kes maka persepsi salah terbina.

“Seperti Najib didapati bersalah dalam kes SRC International sebab hakim kata ia bukan hak dia untuk sedekahkan RM42 juta – bukan sebab Najib curi RM42 juta untuk kegunaan peribadi,” jelasnya.

Tambahnya, jelas sekali Tan Sri Tommy Thomas sewajarnya merenung kembali segala keputusan yang dibuatnya ketika menjadi Peguam Negara dahulu.

“Kerana kini, beliau seharusnya bertanggungjawab ke atas keputusan-keputusan tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.