Keputusan itu dibuat tiga hakim Mahkamah Rayuan Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin yang menolak dua notis rayuan dikemukakan pihak pembelaan.

Perkara itu selepas pihak pendakwaan gagal untuk mengemukakan petisyen rayuan dalam tempoh yang ditetapkan dan mereka juga tidak mengemukakan sebarang permohonan untuk melanjutkan tarikh memfailkan petisyen rayuan.

Hakim Hadhariah berkata mengikut undang-undang, notis rayuan dianggap telah luput dan menjadi tidak sah apabila petisyen rayuan tidak difailkan mengikut masanya dan tidak terdapat permohonan daripada pendakwaan untuk lanjutan masa.

Pada prosiding hari ini Timbalan Pendakwa Raya Datuk Yusaini Amer Abdul Karim memaklumkan kepada mahkamah bahawa, pihak pendakwaan berhasrat untuk memfailkan permohonan mendapatkan lanjutan masa bagi mengemukakan petisyen rayuan. Bagaimanapun Peguam Datuk N.Sivananthan yang mewakili Arul Kanda dan Tan Sri Muhammad Shafee yang mewakili Najib, membantahnya.

Pada 3 Mac tahun ini, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan (kini hakim Mahkamah Rayuan) membebaskan Najib dan Arul Kanda tanpa memanggil mereka untuk membela diri.

Pihak pendakwaan kemudiannya mengemukakan notis rayuan kepada Mahkamah Rayuan pada 9 Mac tahun ini.

Bagaimanapun pihak pendakwaan telah tidak memfailkan petisyen rayuan mereka dalam tempoh masa yang ditetapkan dan juga tidak memfailkan apa-apa permohonan untuk lanjutan masa untuk memfailkan petisyen rayuan tersebut.

Menurut prosedur mahkamah, petisyen rayuan perlu difailkan dalam tempoh 10 hari selepas menerima rekod rayuan dari Pendaftar Mahkamah Tinggi. Petisyen rayuan itu akan mengandungi alasan mengapa pihak pendakwaan membuat rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.

Najib, 70, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

— BERNAMA