KOTA TINGGI – Seorang pekerja ladang lemas ketika mancing bersama rakannya di sebuah lombong dekat Felda Linggiu di sini petang semalam.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Tinggi II Bahtiar Selamat berkata, mayat mangsa ditemui pada kedalaman lima meter pada jarak lapan meter dari tebing tasik di mana mangsa memancing.
Beliau berkata, hasil siasatan pihak bomba bersama rakan mangsa, mangsa dikatakan tergelincir di lombong tersebut.
“Hasil siasatan kami mangsa merupakan warga Indonesia berusia 43 dan dikenali sebagai Sapoan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Seramai 13 anggota dari Bandar Tenggara dibantu BBP Mersing dan BBP Skudai bersama jentera juga kenderaan utiliti dihantar ke tempat kejadian,” katanya.
“Mangsa adalah pekerja kebun di Felda tersebut. Dia datang memancing di lombong berkenaan bersama seorang lagi rakannya. Bagaimanapun mangsa dipercayai terjatuh ketika menjalankan aktiviti memancing.
“Ekoran itu tindakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan pada sekitar kawasan mangsa dipercayai lemas. Mangsa berjaya dijumpai oleh pasukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Mersing setelah membuat selaman selama 30 minit,” ujarnya.
Tambahnya, setelah memastikan keadaan selamat, jentera dan anggota bertolak balik ke balai dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, operasi ditamatkan kira-kira pukul 1.10 pagi tadi.-MalaysiaGazette