Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap pada sidang media semasa hadir pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 12 JUN 2023.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Selepas ditempatkan blok pembangkang hari ini, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar-MUDA) terus lantang mengkritik kerajaan mengenai keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA), Timbalan perdana menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan berkaitan Yayasan Akalbudi.

Syed Saddiq yang juga Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bangun menyatakan pendirian bahawa tindakan DNAA itu adalah pembohongan terbesar yang dibuat oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ini adalah pembohongan terbesar peringkat nasional sebelum ini kata nak lawan rasuah, takkan gugurkan kes dan lawan dan penjarakan kleptokrat.

“Tangan kiri lawan rasuah, tangan kanan bela rasuah. Kalau kita (ahli Parlimen) dalam dewan ini dibisukan mulut, tidak boleh mengkritik kerajaan tanpa sangka jahat, bagaimana kita ingin bicara soal rakyat.,” kata Syed Saddiq pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Semalam, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata Syed Saddiq akan ditempatkan di blok pembangkang pada persidangan Dewan Rakyat bermula hari ini berikutan keputusannya untuk menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.

Johari berkata, beliau sudah menerima surat daripada Presiden MUDA itu berhubung permohonan untuk mengubah tempat duduk di dalam Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, kerajaan hari ini pernah lantang mengkritik kerajaan terdahulu disebabkan kes rasuah dan kleptrokrat.

“Saya perlu betulkan sekiranya Dewan ini dibisukan dan tidak boleh kritik kerajaan tanpa sangka jahat bagaimana kita nak biacarakan soal rakyat walhal pada tahun 2015, 70 Ahli Parlimen di blok pembangkang yang ingin ceritakan soal keputusan hakim di mahkamah sebelum ini keputusan 1MDB, kini bila berada di kedudukan kerajaan mereka hipokrit,” katanya.

Ahad lalu, MUDA mengumumkan tidak lagi bersama dengan Kerajaan Perpaduan dan akan duduk di blok Pembangkang sebagai kuasa ketiga (third force).

Syed Saddiq memberi alasan antara sebab utama keputusan tersebut diambil disebabkan keputusan kerajaan baru-baru yang bertentangan dengan prinsip kedaulatan undang-undang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Syed Saddiq kena cermin diri. Dia juga kluster mahkamah dan perlu segera di jatuhi hukuman. Jangan berat sebelah.

Comments are closed.