KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zanudin mendakwa terdapat timbal balas selepas keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri daripada 47 pertuduhan rasuah berkait Yayasan Akalbudi baru-baru ini.
Sambil menyindir Hamzah memberi perumpamaan dengan mengatakan ‘mana ada seorang guru sanggup untuk melihat anak murid dikenakan hukuman’.
Apatah lagi kata Ahli Parlimen Larut itu, apatah lagi bila anak muridnya itu sanggup melakukan apa sahaja walaupun terpaksa menggadaikan prinsip dan maruah.
“Bila mana Presiden UMNO dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) untuk kesemua 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang haram walaupun terdapat prima facie ia adalah sesuatu yang telah dijangka lebih awal bahawa YAB Bagan Datuk (Ahmad Zahid) akan dilepaskan daripada pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram.
“Benarlah kata orang-orang tua, cikgu mana sanggup tengok anak muridnya dihukum? Lagi-lagi kalau anak muridnya itu sanggup melakukan apa sahaja hatta menggadai prinsip perjuangan dan maruah parti. Mestilah ada timbal-balasnya.
“Keputusan ini bagus kerana ia terbukti menjadi sebahagian daripada agenda Separuh Penggal RMK-12 kerajaan PH-BN.
“Saya optimis keputusan melepaskan Bagan Datuk ini akan menyebabkan ekonomi Malaysia berkembang menjadi lebih pesat dan isu kos sara hidup yang membelenggu rakyat termasuk kenaikan harga beras akan selesai,” sindirnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hamzah meneliti ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam aspek tatakelola dan rangka kerja institusi serta perundangan berkaitan rasuah yang memang sedap bunyinya.
Kata beliau, Ahli Parlimen Tambun menyebut kerajaan komited untuk memulihkan imej Malaysia pada peringkat antarabangsa serta mengangkat darjat untuk menjadi negara yang bermaruah dan anti rasuah.
“Cumanya, biasalah sifat manusia ini kadang kita terlupa. Kita terlupa melihat ke cermin, kita terlupa memadang ke kiri kanan, depan dan belakang kita.
“Sebagai pemimpin, biarkan kita bercakap serupa bikin kerana di situlah terletaknya nilai keyakinan rakyat kepada kita,” katanya lagi.
Hamzah juga mempersoalkan di mana pemimpin-pemimpin politik yang sebelum ini lantang bersuara tiba- tiba gagal dikesan selepas Timbalan Perdana Menteri dilepaskan.
“Mana hilangnya Lim Kit Siang? Mana hilangnya YB Bagan? Mana hilangnya YB Damansara? Di mana keadilan untuk rakyat?
“Mengapa wujudnya double standard dalam sistem keadilan di negara ini? Mengapa pemimpin politik dilepaskan tetapi rakyat miskin yang mencuri duit tabung masjid sebanyak RM22 berdepan hukuman penjara 10 tahun?
“Sedangkan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa semua orang sama di sini undang-undang.
“Layanan dua darjat antara rakyat biasa dan pemimpin kerajaan ini merupakan suatu bentuk kezaliman bukan sahaja kepada rakyat tetapi terhadap sistem keadilan negara itu sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette