KUALA LUMPUR – Dua pasukan petugas khas ditubuh untuk mempercepatkan usaha pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya bagi memastikan tadbir urus demokratik lebih mantap, dan meningkatkan pentadbiran undang-undang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penubuhan itu melibatkan Pasukan Petugas Khas Kajian Komparitif dan Pasukan Petugas Khas Teknikal.
Azalina berkata, beliau akan berada dalam Pasukan Petugas Khas Kajian Komparitif serta wakil Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi, wakil blok pembangkang, Pejabat Peguam Negara (AGC) dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU).
“Pasukan ini menjalankan kajian berdasarkan keterangan ke beberapa negara seperti England, Australia, Kanada dan Kenya bagi mendapatkan maklumat lanjut yang tidak dapat diakses melalui data terbuka kajian amalan terbaik global.
“Manakala Pasukan Petugas Khas Teknikal akan meneliti secara komprehensif implikasi perundangan, perjawatan dan kewangan,” katanya dalam kenyataan ini selepas mempengerusikan mesyuarat pertama meneliti agenda reformasi pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Jawatankuasa ini, katanya dicadangkan dikendalikan sepenuhnya oleh AGC dan BHEUU.
Tambahnya, jawatankuasa ini akan menyediakan laporan interim dalam tempoh satu tahun mengenai Kajian Empirikal Komprehensif Pengasingan Peranan Pendakwa Raya dan Peguam Negara termasuk mengambil kira hasil kajian berdasarkan keterangan dan pembentangan hasil Kajian Empirikal untuk pertimbangan Jemaah Menteri.
Menurut Azalina, pengasingan peranan ini akan melibatkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada serta peraturan-peraturan berkaitan selain membawa implikasi kepada kewangan dan perjawatan besar dalam kerajaan.
Katanya, sesi libat urus bersama pemegang taruh lain seperti Polis Diraja Malaysia, agensi penguatkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia akan diadakan oleh Pasukan Petugas Khas Teknikal dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette