Ahmad Fadhli Shaari.-Foto MOHD ADZLAN, 10 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta mempermudahkan urusan pembangkang yang mahu menganjurkan satu perhimpunan aman berkait isu lepas tanpa dibebas (DNAA) membabitkan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi, baru-baru ini.

Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) memberi jaminan tunjuk perasaan itu akan berlangsung secara aman dan undang-undang akan dipatuhi.

Malah kata beliau, program anjuran sayap PN itu sedia menukar tempat berhimpun sekiranya diminta berbuat demikian.

“Sabtu ini anak-anak muda minta nak berhimpun jadi pihak kerajaan permudahkanlah. Tak ramai pun yang berhimpun… kalau datang 10,000 pun masih belum cukup untuk menggoncang kerajaan.

“Kami akan patuh kepada undang-undang tapi tolong permudahkan urusan kami,” katanya ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Pada 10 September lalu, Pemuda PN mengumumkan mereka akan mengadakan perhimpunan aman di hadapan Kompleks Sogo, di sini, Sabtu ini bagi memulakan kempen ‘Gerakan Selamatkan Malaysia”.

Kempen itu digerakkan pihaknya susulan keputusan DNAA Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi, Isnin lalu.

Semalam, polis mengingatkan pihak yang ingin mengadakan perhimpunan perlu mengikut lunas undang-undang antaranya mengemukakan permohonan lima hari sebelum tarikh perhimpunan, dan mendapatkan kebenaran daripada pemilik premis di kawasan terlibat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast