KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia pada tahun 2022 mencatatkan pertumbuhan paling tinggi dalam tempoh 22 tahun apabila ia berkembang sebanyak 8.7 peratus.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia merupakan pencapaian terbaik dalam kalangan negara Asia Tenggara mengatasi Vietnam yang mencatatkan pertumbuhan 8.02 peratus, Filipina (7.6 peratus), Indonesia (5.01 peratus), Singapura (3.8 peratus) dan Thailand sebanyak 3.4 peratus.
Menurut beliau, semua data itu diperolehi sewaktu pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di mana tiada mana-mana pihak boleh menidakkan kebolehan serta kejayaan parti gabungan itu dalam mentadbir negara dan mengurus ekonomi Malaysia.
“Walaupun YAB Tambun (perdana menteri) mungkin berat mulut hendak menyebutnya tetapi fakta tetap fakta.
“Hakikatnya, kejayaan ekonomi Malaysia pada hari ini, kerangkanya telah disusun dengan baik dan rapi oleh PN.
“Kejayaan itu bukan sahaja boleh dilihat tetapi dirasai majoriti rakyat. Soalnya, jika kerangka ekonomi yang disandarkan kepada Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 itu boleh mencapai kejayaan, mengapa dasar tersebut dihapuskan dan digantikan dengan Ekonomi Madani yang kabur serta rapuh hala tujunya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut menambah, beliau mengumpamakan Malaysia sebagai sebuah rumah yang ingin dibina dengan teguh demi masa depan rakyat.
“Biarlah rumah ini kekal berdiri walau apa bencana yang melanda sekali pun. Tiangnya kukuh dan diperbuat daripada bahan yang kuat dan padu. Kita tidak boleh membina rumah Malaysia ini dengan menggunakan bahan-bahan yang rapuh.
“Polisi merupakan tiang dan tiang yang teguh itu adalah Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Sebab itu, setiap sasaran yang ditetapkan kerajaan dalam Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 ini, perincian mengenai pendekatannya disebut dan dinyatakan secara jelas satu persatu,” katanya.
Semalam, KSP RMK12 dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan jumlah siling perbelanjaan RMK12 akan ditambah sebanyak RM15 bilion, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan kepada RM415 bilion.
Hari ini, pembentangan KSP RMK12 diteruskan dengan sesi perbahasan oleh Ahli Parlimen selama tiga hari diikuti jawapan oleh kementerian berkaitan pada 18 dan 19 September ini. – MalaysiaGazette