KUALA LUMPUR – Kedudukan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman di Dewan Rakyat kini berubah selepas beliau tidak lagi berada di blok kerajaan.
Ini kerana kerusi Syed Saddiq telah dipindahkan ke blok pembangkang di bahagian belakang namun beliau dilihat berseorangan tanpa diapit ahli-ahli Parlimen lain.
Sebelum ini, kerusi Syed Saddiq yang bernombor D7 terletak di bahagian tengah barisan kedua blok kerajaan dan bersebelahan dengan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo.
Berdasarkan pelan kedudukan Dewan Rakyat, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu dilihat duduk di kerusi bernombor E38 dengan terdapat empat kekosongan kerusi di sebelah kanannya.
Beliau bagaimanapun duduk sebaris dengan Ahli Parlimen Gerik, Fathur Huzir Ayob; Ahli Parlimen Pasir Salak, Jamaludin Yahya dan Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor.
Semalam, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, Syed Saddiq akan ditempatkan di blok pembangkang pada persidangan Dewan Rakyat mulai hari ini susulan keputusannya untuk menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.
Menurut Johari, beliau menerima surat daripada Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia itu berhubung permohonan untuk mengubah tempat duduk di dalam Dewan Rakyat.
“Saya telah menerima surat, beliau memohon untuk mengubah tempat, tidak ada masalah, saya telah meminta pihak pentadbiran mengubah tempat beliau ke tempat pembangkang,” katanya ketika ditemui pemberita di bangunan Parlimen, semalam.
Kelmarin, Syed Saddiq menarik diri sebagai penyokong kerajaan dan memilih menjadi pembangkang kuasa ketiga dalam Dewan Rakyat.
Sementara itu, Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bersidang enam hari bermula semalam yang memberi tumpuan kepada pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengikut takwim di laman rasmi Parlimen, sesi perbahasan oleh Ahli Parlimen dijadual selama tiga hari bermula hari ini dan jawapan oleh kementerian berkaitan pada 18 serta 19 September ini. – MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL