Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo bersama Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng hadir pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 24 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng (PH-Bagan) percaya kerajaan mampu untuk memisahkan kuasa di antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya dalam tempoh setahun.

Pengerusi DAP itu berkata langkah itu perlu bagi memastikan usaha meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara dapat direalisasikan.

“Saya berharap pihak kerajaan boleh berikan tempoh masa setahun untuk menyempurnakan pemisahan kuasa di antara Pendakwa Raya dan juga Peguam Negara.

“Hanya dengan langkah ini, saya percaya dapat meyakinkan rakyat mengenai semangat reformasi yang ada dalam Kerajaan Perpaduan ini masih membara dan bukan seperti yang dilaungkan oleh pihak tertentu,” katanya ketika membahaskan laporan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke 12 (RMK-12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, syor pengasingan kuasa di antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya sudah dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk penelitian lanjut.

Untuk itu, satu kertas kerja sudah dibentangkan di Kabinet beberapa bulan lalu, sebagai proses bagi memperoleh sokongan syor berkenaan.

Sebelum terdapat gesaan daripada seorang pemimpin PKR yang menyarankan Kerajaan Perpaduan segera melaksanakan pengasingan kuasa di antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya dalam usaha meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara.

Timbalan Ketua Penerangan PKR, Chua Wei Kiat sebelum ini dipetik berkata, langkah itu juga mustahak memandangkan timbul kesangsian banyak pihak terutama dakwaan mengaitkan kerajaan campur tangan dalam kes mahkamah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast