GEORGE TOWN – Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor menasihatkan umat Islam di negara ini tidak terpengaruh dengan kepercayaan karut berhubung dakwaan berlaku bencana pada hari terakhir Rabu bulan Safar.
Sebaliknya, tegas beliau, umat Islam diajar supaya menyerah nasib diri kepada Allah kerana segala yang berlaku adalah mengikut qada dan qadarNya.
Beliau juga mengingatkan umat Islam agar tidak menghidupkan semula budaya jahiliah yang hampir dilupai sejak puluhan tahun dahulu.
”Mereka yang percaya tentang sial atau pesimistik terhadap mana-mana hari, bulan atau waktu tertentu adalah berasal daripada budaya zaman pra-Islam yang dikenali sebagai zaman jahiliah termasuk kepercayaan tentang kesialan hari Rabu terakhir bulan Safar.
“Masyarakat berkenaan percaya pada bulan itu banyak berlaku bencana, kemalangan serta kejadian buruk dan mereka tidak melangsungkan pernikahan pada bulan berkenaan kerana bimbang jodoh tidak kekal lantaran kepercayaan sedemikian.
“Mereka juga tidak menjalankan aktiviti perniagaan kerana takut kerugian dan kedatangan agama Islam menghapuskan kesemua kepercayaan karut berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kebimbangan masyarakat Islam selepas tular mengenai ada tuhan menurunkan banyak bala pada hari Rabu terakhir bulan Safar yang jatuh hari ini.
Menurut Wan Salim, pada era sebelum negara mencapai kemerdekaan, masyarakat Melayu terbawa-bawa dengan kepercayaan jahiliah itu seperti meminta pertolongan golongan yang dianggap soleh atau warak bagi menulis doa tertentu pada kertas, direndam di dalam air lalu diminum untuk menolak bala.
“Ada yang ditulis pada pinggan lalu diminum airnya dengan maksud yang sama dan amalan sedemikian dikatakan bersandarkan kepada hadis nabi padahal ia adalah hadis palsu yang direka kerana sebab tertentu.
“Amalan khurafat yang bertitik tolak daripada kepercayaan syirik ini perlu dielak bagi memelihara kemurnian akidah Islamiah umat Islam.
“Umat Islam perlu yakin bahawa segala bala bencana hanya boleh dihindari menerusi doa yang ikhlas kepada Allah berserta amalan taat seperti solat, sedekah dan kebajikan yang lain,” katanya.
Tambah Wan Salim, masyarakat perlu sentiasa meningkatkan ilmu dan kefahaman mengenai ajaran Islam sebenar terutama bersangkutan dengan rukun iman yang enam.
“Perlu diketahui bahawa akidah iaitu kepercayaan kepada Allah SWT sebagai Tuhan Yang Esa adalah paksi bagi agama Islam.
“Maka, amalan seseorang itu jika tidak berlandaskan kepada keyakinan, tidak akan diterima di sisi Allah SWT,” tegas beliau.
Terdahulu, tular di media sosial akan berlaku musibah besar susulan mengenai tarikh 13 September iaitu hari Rabu terakhir dalam bulan Safar. – MalaysiaGazette