KUALA LUMPUR – Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) menyifatkan kerajaan melakukan langkah adalah tepat dalam memperbetulkan hala tuju RMK-12 dalam keadaan ekonomi global yang semakin tidak menentu.
Presidennya, Datuk William Ng berkata, walaupun negara perlu memberi fokus kepada pelaburan asing, namun Malaysia juga perlu memberi tumpuan secukupnya kepada pelaburan domestik dan menggalakkan nilai tambah yang lebih besar dari pemain industri tempatan, melalui peningkatan produktiviti.
Samenta, katanya, bekerjasama rapat dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) beberapa tahun ini, untuk memacu automasi dan penerimagunaan teknologi dan digital
yang lebih besar dalam kalangan peserta perusahaan kecil dan industri (PKS) serta menggalakkan perubahan minda usahawan PKS untuk memberi tumpuan kepada produktiviti sebagai pemangkin terpenting untuk membangunkan perniagaan mereka.
”Tumpuan kepada industri ‘high growth, high value’ akan mempunyai kesan limpahan (spill-over effect) kepada PKS dan rakyat. PKS turut akan mendapat manfaat sebagai
sebahagian daripada rantaian bekalan global.
“Walaupun kita faham kerajaan mahu membantu syarikat pemula sebagai strategi pertumbuhan ekonomi, kami berpendapat dana yang diketepikan ini dapat membuahkan
hasil yang lebih baik jika disalurkan kepada PKS berpertumbuhan tinggi dan berimpak tinggi. Sebagai contohnya, PKS yang sedia untuk mengeksport boleh dimudahcarakan melalui penyesuaipadan pasaran berfokus dan bantuan dalam reka bentuk pembungkusan dan penjenamaan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Jelas beliau lagi, modal teroka dan syarikat milik kerajaan (GLC) juga harus digalakkan untuk membiayai PKS dalam aktiviti penggabungan dan pengambilalihan (M&A),
memandangkan PKS yang sudah matang bukan sahaja membawa risiko pelaburan yang lebih rendah tetapi juga mempunyai kedudukan yang lebih kukuh dalam rantaian bekalan
global.
Selain itu, Ng berkata, Samenta turut menyokong baik rancangan untuk memberi tumpuan kepada industri kreatif dan PKS yang berdasarkan reka bentuk.
“Pada masa sama, kami sekali lagi mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan geran padanan untuk reka bentuk pembungkusan dan penjenamaan, untuk membantu PKS beralih dari OEM semata-mata dan menjadi pemilik jenama, disamping menyokong ekonomi kreatif negara,” ujarnya sambil menambah ia kekal komited untuk menyokong kesemua 1.2 juta PKS di seluruh negara
untuk menjadi lebih produktif dan berdaya saing berteraskan pendigitalan dan penglobalan. – MalaysiaGazette