Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) ditempelak susulan cadangan agar pemimpin politik melaksanakan gencatan politik hingga pilihan raya umum akan datang demi kestabilan ekonomi negara dan perpaduan masyarakat.

Pemerhati politik, Lim Sian See berkata, pemimpin PH itu lupa kerana semasa kerajaan di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, mereka yang mengadakan demonstrasi Bersihh 1,0, 2.0, 3.0, 4.0, 5.0 dan 6.0.

Selain itu PH turut mengadakan demonstrasi Selamatkan Malaysia, turunkan harga mintak, Blackout 505, anti-Lynas, anti-lombong emas Raub, Mansuh Sosma, akta hasutan dan sebagainya.

“Korang sekali tak fikir pun impak pada ekonomi dan negara. Tiap-tiap tahun buat beberapa kali sepanjang tempoh 9 tahun Najib jadi PM.

“Ada je sebab atau alasan untuk buat. Masa itu korang tak fikir impak?,” bidas Sian See.

Semalam, Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) berkata, perhimpunan politik besar-besaran atau demonstrasi akan menjejaskan kemasukan pelaburan di negara ini seterusnya menyebabkan kegagalan bagi mencapai status negara maju.

Menurutnya, pelabur amat sensitif dengan situasi politik domestik, sejumlah RM1.23 trilion pelaburan akan lari jika kita terus berbalah, jadi saya mohon supaya Bachok dan kawan-kawan di sebelah sana (pembangkang) tak payahlah buat apa-apa demonstrasi, ini akan menakutkan pelabur.

“Kita tahu bahawa kita ada kebebasan, boleh bersuara di sini (Parlimen), boleh membangkang di sini tak ada masalah tetapi pelabur amat sensitif terhadap himpunan besar-besaran dan pada 16 September, iaitu Hari Malaysia di mana kita harus bersama, bersatu-padu sebagai satu negara Malaysia (dan) bukan masa untuk mengadakan demonstrasi yang mengancam perpaduan rakyat Malaysia,” katanya.

Menjawab celahan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) yang mempersoalkan cadangan Tze Tzin agar PN tidak mengadakan demonstrasi, Tze Tzin berkata, negara telah menyaksikan begitu banyak perhimpunan besar-besaran dan ceramah politik setiap kali pilihan raya kecil.

“Sekarang kita sudah ada banyak pilihan raya (kecil), ada perhimpunan boleh ceramah, tiada masalah. Sudah cukuplah ceramah, perhimpunan besar-besaran pun sudah buat, cukuplah. Sekarang masa untuk fokus kepada ekonomi, fokus kepada perpaduan negara,” katanya. – MalaysiaGazette