ALOR SETAR – Seorang pemandu lori kren Tenaga Nasional Berhad (TNB) maut selepas kenderaan dipandunya bertembung dengan bahagian kontena sebuah treler dalam kemalangan di Kota Sarang Semut, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata dalam kejadian pada 4 pagi itu, mangsa, Hasbullah Mohd Salleh, 38, yang berasal dari Baling maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Beliau berkata kemalangan berlaku apabila treler yang dipandu lelaki berusia 27 tahun dari arah Alor Setar ke Sungai Petani itu hilang kawalan.

“Bahagian kontena treler tersebut telah masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan bahagian hadapan lori kren dipandu mangsa yang dalam perjalanan dari arah Sungai Petani menghala ke Alor Setar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, di sini untuk proses bedah siasat, manakala pemandu treler hanya mengalami kecederaan ringan.

Katanya polis sedang mengesan saksi awam di tempat kejadian dan treler berkenaan telah ditahan untuk pemeriksaan lanjut. – BERNAMA