Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid membuat gimik perasmian Pavilion Gate To Global sempena Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2023 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 13 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) mensasarkan jualan sebanyak RM20 juta dalam Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2023 yang sedang berlangsung dari 12 hingga 15 September 2023 di Malaysia International Trade & Exhibition Centre (MITEC), di sini.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, seramai 30 usahawan menerusi Gate To Global (GTG) MARA menyertai MIHAS 2023.

“Kesemua 30 usahawan itu dari Program Keusahawanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah (FELCRA).

“Ia bagi memperkukuh akses pasaran eksport ke luar negara bagi usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) selain meneroka peluang perniagaan ke negara lain yang terlibat dalam pameran halal ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Di bawah Program GTG, MARA berperanan meningkatkan keupayaan usahawan dalam aspek pembangunan produk, pengukuhan penjenamaan dan pemasaran strategik melalui kemudahan keusahawanan yang disediakan.

Ia termasuklah geran dan pembiayaan perniagaan, khidmat nasihat dan bimbingan eksport kepada usahawan PKS.

Ahmad Zahid juga berkata, inisiatif itu dilaksana bagi memastikan produk usahawan PKS memenuhi kriteria produk sedia dieksport dan syarat-syarat kemasukan ke negara berkaitan.

Pada majlis sama, Ahmad Zahid turut akan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara usahawan di bawah Program GTG MARA.

Antaranya Aducktive Food Sdn Bhd, Solution Inspirasi Resources Sdn Bhd, Dr Aishah Solution Sdn Bhd dan AW Manufacturing Sdn Bhd dengan pengedar luar negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast