Tertuduh berusia 63 tahun mengaku bersalah atas empat pertuduhan cabul anak perempuan di Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang bapa didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas empat pertuduhan mencabul anak perempuan kandungnya berusia 13 tahun, tahun lalu.

Tertuduh, pemandu e-hailing yang berusia 63 tahun itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut kesemua pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan memegang kemaluan serta menghisap dan memegang payudara mangsa.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah rumah di Tanah Liat, Bukit Mertajam, dekat sini, sekitar Mac hingga Jun lalu.

Tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin.

Tertuduh didakwa mengkut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(2)(a) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan menerima sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim tidak membenarkan tertuduh diikat jamin berikutan tertuduh tinggal satu rumah dengan mangsa.

Mahkamah menetapkan 27 September depan sebagai tarikh menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast