Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. Foto MUHD NA’IM, 21 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah melancarkan siasatan dalaman berhubung seorang peserta program Felo Perdana yang ditempatkan di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengemukakan sijil palsu

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, siasatan awal mendapati terdapat kelemahan dalam sistem prosedur operasi standard (SOP) daripada segi proses penapisan.

“Sehubungan itu, di KBS kami sudah memulakan satu siasatan dalaman untuk meneliti pasukan ‘vetting team’ yang bertanggungjawab ke atas proses pemilihan calon Felo Perdana itu untuk menentukan apa yang telah sebenarnya berlaku dalam situasi ini.

“Berdasarkan siasatan, kami akan mengambil tindakan sewajarnya dalam kes ini,” kata selepas merasmikan Program Jualan Sukan Rahmah, di sini, hari ini.

Semalam, KBS mengumumkan seorang peserta program Felo Perdana yang ditempatkan di MITI akan ditamatkan daripada menyertai  program itu kerana mengemukakan sijil tidak tulen.

Program Felo Perdana merupakan program mentoring dan internship dengan matlamat melahirkan belia berdaya saing dan memahami sistem pentadbiran negara dan program itu telah berjaya menghasilkan 763  Felo sejak dilancarkan pada  2013.

Pengambilan semua Felo telah melalui prosedur ditetapkan Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dan tapisan keselamatan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO).

Menurut Hannah, walaupun pengambilan semua Felo melalui prosedur yang ditetapkan oleh JBSN namun pelaksanaan keseluruhan SOP bergantung kepada agensi lain, antaranya SOP penapisan.

Berikutan itu, katanya, kementerian tersebut akan menambah baik SOP bagi mengelakkan ketirisan berlaku bagi memastikan perkara sama tidak berulang pada masa depan. – MalaysiaGazette