Ahmad Maslan

KAJANG – Kementerian Kewangan akan menjawab isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang telah dimansuhkan sebelum ini di Dewan Rakyat pada Isnin depan.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerajaan menyedari isu GST telah dibangkit banyak pihak, termasuk daripada Ahli Parlimen.

“Saya akan jawab mengenai GST di parlimen pada hari Isnin. Pegawai saya akan membincangkan perkara ini hari ini kerana terdapat beberapa pihak membangkitkan isu GST.

“Semalam saya bertemu dengan Ahli Parlimen kerajaan dan maklum balas mereka mengenai Bajet 2024.

“Dalam penglibatan ini terdapat sebilangan kecil daripada mereka bertanya tentang GST dan saya memberi jaminan bahawa saya akan menjawabnya pada hari Isnin.

Pada hari Isnin juga saya akan menjawab isu berkaitan kementerian kewangan seperti cukai baharu, GST, pertumbuhan ekonomi dan banyak lagi,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama Tahun 2023 di Institut Penilai Negara (Inspen), di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia akan memperkenalkan dasar cukai progresif kerana ia tidak bersifat broad-based seperti GST yang memberikan kesan besar terhadap golongan kurang mampu.

Beliau berkata, walaupun GST diakui sebagai cukai yang efisien dan telus tetapi kerajaan perlu mengambil kira soal pembasmian miskin tegar, penyelarasan subsidi dan peningkatan taraf hidup masyarakat.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan tidak menolak untuk memperkenalkan semula GST yang telah dimansuhkan sebelum ini.

Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan akan mengutamakan strategi untuk meluaskan sumber hasil negara termasuk fokus membangunkan Cukai Keuntungan Modal, yang dijadualkan dilaksanakan pada 2024. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Andainya DSNR bebas pastinya Rafizi Ramli akan letak jawatan dalam kerajaan dan parti kerana takut dan malu menjadi Menteri Gagal.
    Kerana kerajaan madani pasti terpaksa laksanakan GST semula. Di malu dikatakan sebagai raja formula yang gagal. Rasanya PMX sedang mencari jalan untuk tendang dia keluar. Lantiklah Nurul Izzah jadi Senator

Comments are closed.