Jurutera syarikat perkapalan Harun Narresat Ibrahim dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tanah Merah hari ini atas tuduhan membunuh seorang penjawat awam di Machang pada 3 Sept lepas.

TANAH MERAH – Seorang jurutera syarikat perkapalan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas tuduhan membunuh seorang penjawat awam di Machang pada 3 September lepas.

Harun Narresat Ibrahim, 46, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Harun Narresat didakwa membunuh Tuan Mohd Salleh Tuan Ibrahim, 51, di sebuah kedai makan di hadapan Hospital Machang, Jalan Pasir Puteh Lama, Machang kira-kira pukul 11.30 pagi.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati boleh dihukum sebat tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Kelantan Muhammad Zaki Abdul Kudos manakala tertuduh diwakili penguam Tengku Shazuan Tg Shariffudin.

Mahkamah menetapkan 13 November ini untuk sebutan semula sementara menunggu laporan kimia sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Pada 3 September, media melaporkan seorang penjawat awam maut selepas terlibat dalam pergaduhan di sebuah kedai makan di Jalan Lama Pasir Puteh-Machang berhadapan Hospital Machang. – Bernama