pilihan raya PBT
Mike Chong Yew Chuan

KUALA LUMPUR – Jurucakap MCA, Mike Chong Yew Chuan mencadangkan agar pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) diadakan semula di ibu negara.

Menurut beliau, langkah itu membolehkan mereka mengundi untuk menentukan wakil-wakil yang difikirkan terbaik untuk mentadbir Kuala Lumpur.

“Tidak seperti amalan sedia ada di mana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang membuat keputusan muktamad,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mike mengulas saranan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung di Dewan Rakyat semalam agar Kuala Lumpur diserahkan semula kepada Selangor.

Chean Chung percaya langkah itu antara lain memberi peluang kepada warga kota mengundi untuk Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor serta menambah bank tanah bagi Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Mike tidak bersetuju dengan cadangan Chean Chung itu serta menyifatkannya tiada beza dengan hasrat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang ingin Pulau Pinang dikembalikan kepada Kedah.

Beliau menambah, walaupun Kuala Lumpur pernah menjadi ibu negeri Selangor, adalah tidak munasabah untuk melaksanakan cadangan Chean Chung itu.

Selain itu, Mike memahami hasrat Chean Ching sebagai Ahli Parlimen dari Selangor yang mahu memperkasakan prestasi kewangan negeri berkenaan sekiranya Kuala Lumpur menjadi sebahagian daripadanya.

“Namun, memandangkan Selangor mempunyai lebih banyak sumber dan kelebihan dari segi geografi berbanding Kuala Lumpur, negeri itu boleh berdikari,” jelasnya. – MalaysiaGazette