Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak meminggirkan Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) dalam sumbangan bantuan dan penyelenggaraan.

Menurut kementerian tersebut, sumbangan bantuan penyelenggaraan juga disediakan kepada SBK seluruh negara bagi tahun ini.

“Sumbangan bantuan penyelenggaraan SBK telah dibuat berdasarkan kepada Garis Panduan Pengurusan Sumbangan Bantuan Sekolah Bantuan Kerajaan Tahun 2021 dan Tatacara Pengurusan Sumbangan Bantuan Sekolah Bantuan Kerajaan Tahun 2023,” katanya menerusi kenyataan.

KPM berkata demikian merujuk laporan media mengenai isu yang dibangkitkan sesetengah pihak berhubung peruntukan khas bagi pelaksanaan kerja-kerja naik taraf tandas dan penyelenggaraan institusi pendidikan kerajaan.

Dalam masa yang sama jelas kementerian tersebut, sebanyak RM900 juta peruntukan khas daripada Belanjawan 2023 untuk kerja-kerja menyelenggara kemudahan semua jenis sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Justeru, Kementerian berkenaan memberi jaminan akan memastikan akses pendidikan terbaik untuk semua murid di institusi-institusi pendidikan bawah kelolaannya.-MalaysiaGazette