ISKANDAR PUTERI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram, Ir Nazri Abdul Rahman hari ini mengangkat sumpah jawatan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Bangunan Kota Ismail, Kota Iskandar sebentar tadi.
Bekas jurutera Majlis Perbandaran Muar, berusia 56 tahun itu mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan di hadapan Speaker DUN Johor, Datuk Mohd Puad Zarkashi.
Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram pada 9 September lalu, Nazri yang mewakili Pakatan Harapan (PH) menang dengan majoriti undi 3,514 undi selepas memperoleh 13,844 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Dr Mazri Yahya (10,330 undi) dan calon bebas S Jeganathan (311 undi).
PRK DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.
Salahuddin meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.
Sementara itu. Mohd Puad mengucapkan tahniah kepada Nazri yang memenangi PRK DUN Simpang Jeram dan Suhaizan Kayat dari Pakatan Harapan di Parlimen Pulai.
“Syukur ke hadrat Illahi dan kita akan bekerjasama demi rakyat Johor. Jadi wakil rakyat sepertimana titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pelihara imej dan kreadibiliti DUN Johor.
“Sudah 18 bulan kita menjadi ADUN, sepatutnya bertambah pengalaman, kita menjadi lebih matang,” katanya. – MalaysiaGazette