Ramli Mohamed Yoosuf

KUALA LUMPUR – Seorang Pengarah Eksekutif mengalami kerugian RM3 juta selepas diperdaya seorang lelaki yang dikenalinya dalam urusan jual beli saham sebuah syarikat awam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, siasatan yang dilakukan daripada laporan diterima pada Isnin lalu mendapati lelaki itu memeterai  perjanjian pembelian saham bersyarat dengan kenalannya pada 27 Jun lalu.

“Mangsa terlibat dalam urusan jual beli itu untuk mengambil alih 25 peratus pegangan ekuiti atau 1,250 saham biasa sebuah syarikat yang beralamat di Bandar Sri Damansara, di sini, dengan nilai RM5.5 juta.

“Susulan itu, mangsa telah membuat pembayaran wang deposit berjumlah RM3 juta secara dalam talian ke akaun bank milik peguamcara,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Ramli, bagaimanapun pada 24 Julai lalu, syarikat mangsa menerima surat daripada sebuah syarikat lain yang mendakwa suspek tidak mempunyai kuasa untuk menjual saham syarikat di Bandar Sri Damansara itu

Ini kerana syarikat terbabit sudah membeli saham itu daripada suspek pada 7 Februari lalu, katanya.

Tambah beliau, hasil semakan mangsa dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati kesemua saham syarikat itu sudah dipindah milik kepada syarikat lain pada 6 Julai lalu.

Berikutan itu, katanya, mangsa berasa tertipu dan membuat laporan polis pada Isnin lalu.

Ramli berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette