KUALA LUMPUR – Buat pertama kali, City University Malaysia (City U) menganjurkan program Siri Syarahan Penceramah Terkemuka dalam usaha melahirkan pemimpin pada masa depan di kalangan pelajarnya.
Timbalan Naib Canselor Kanan (Perkhidmatan Korporat & Kelestarian) & Pendaftarnya, Dr. Rosnizah Shaari berkata, kolaborasi bersama Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-Amerika (MACEE) melalui Program Fulbright itu diharap dapat membina rasa ingin tahu di kalangan minda pelajar yang merangsang proses pemikiran baharu.
Menurutnya, menerusi siri syarahan itu, pelajar secara aktif akan menerokai perspektif dan pandangan merentas pelbagai topik yang menyediakan peluang untuk mencetuskan pemikiran kritis dan menggalakkan perbincangan intelektual.
“Siri syarahan ini dianjurkan untuk menggalakkan program pertukaran di kalangan pelajar dan kakitangan City Uni ke Amerika Syarikat.
“Selain itu, program ini juga bertujuan untuk mendedahkan dan membincangkan isu-isu baharu masa depan di kalangan peserta dengan membangkitkan perkara pemikiran kritis.
“Daripada pengalaman yang dikongsi oleh penceramah terkenal, ia akan memperkayakan pengetahuan kepada pelajar dan juga memberi tumpuan kepada pemupukan sifat dan nilai,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Siri Syarahan Penceramah Terkemuka yang dikendalikan oleh Pengarah Eksekutif MACEE, Curtis Johnson di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Rosnizah turut memberitahu, City U terus melakar sejarah selepas berjaya mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) apabila menerima Penarafan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (SETARA) 2022 sebagai Institusi Pendidikan Tinggi dalam kategori Berdaya Saing.
Menurut beliau, pengiktirafan tersebut merupakan satu peningkatkan pencapaian dan kejayaan itu adalah hasil kerja-keras semua kakitangan akademik universiti yang bertungkus-lumus dalam menyediakan pendidikan berkualiti tinggi buat para pelajar.
Sementara itu, City U yang kini mempunyai tiga kampus di seluruh negara terus mengorak langkah proaktif akan membuka kampus keempatnya di Cyberjaya pada Januari depan.
Ditubuhkan pada 1984, ia kini menjadi salah satu institusi pendidikan tinggi swasta yang sedang meningkat naik di negara ini dengan jumlah 7,500 pelajar tempatan dan antarabangsa.
Pada majlis konvokesyen bulan, City U berjaya menghasilkan seramai 13 orang graduan Doktor Falsafah (PhD) yang merupakan satu pencapaian besar bagi sebuah institusi pengajian tinggi swasta. – MalaysiaGazette