Wan Azlan Wan Mamat.

SUBANG – Tujuh individu direman selama tujuh hari sehigga 20 September ini bagi membantu siasatan penemuan mayat seorang lelaki yang ditemui dalam sebuah kereta di tepi jalan utama Batu 14, Puchong pada 6 September lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kes pemculikan mangsa yang merupakan seorang penganggur itu disiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

“Malam tadi kesemua tujuh suspek itu termasuk teman wanita mangsa telah diserahkan kepada pasukan Bahagian Siastan Jenayah IPD Subang Jaya untuk meneruskan siasatan bagi pihak kami dalam aspek pembunuhan dan penemuan mayat mangsa dalam kereta.

“Pagi tadi kesemua tujuh suspek itu telah dihadapkan ke mahkamah untuk permohonan perintah reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

.ARTIKEL BERKAITAN: Kes culik, bunuh: Teman wanita mangsa antara tiga lagi suspek direman

Wan Azlan berkata, kes tersebut turut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, siasatan polis mendapati mangsa seorang warga tempatan dipercayai diculik sekumpulan lelaki di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Sungai Besi, di sini pada 3 September lalu. – MalaysiaGazette