Foto Twitter Al-Arabi Sports Club.

LONDON –  Pemain antarabangsa Itali, Marco Verratti berhijrah ke Qatar apabila menandatangani kontrak bersama kelab Al Arabi, umum kelab baharunya itu dan bekas pasukannya, Paris Saint-Germain (PSG) hari ini.

Al Arabi memuat naik video di media sosial mempamerkan pemain tengah itu bersama jersi kelab yang mana PSG turut mengucapkan terima kasih kepada Verratti kerana jasanya selama 11 tahun di kelab tersebut.

“Paris, kelab dan penyokong akan sentiasa berada di tempat istimewa dalam hati saya.

“Saya akan sentiasa menjadi warga Paris,” ia memetik Verratti sebagai berkata.

Penggantungan dan kecederaan mengehadkan pembabitannya kepada hanya 29 aksi Ligue 1 musim lalu, namun jumlah keseluruhan itu paling banyak sejak dia beraksi 32 perlawanan pada musim 2014-15.

Verrati juga tidak menjadi pilihan jurulatih baharu, Luis Enrique musim ini.

Sementara itu, media Perancis melaporkan PSG menerima hampir 50 juta euro (RM251 juta) menerusi yuran perpindahan.

Verratti menang sembilan kejuaraan liga Perancis dan enam Piala Perancis bersama PSG selain Kejohanan Eropah pada 2021 bersama Itali. – Agensi