KUANTAN– Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang menamatkan operasi mencari dan menyelamat seorang nelayan warga emas yang hilang di laut ketika menangkap ikan pada jarak lebih kurang 1.5 batu nautika Timur Laut Kuala Pahang selepas tiada sebarang petunjuk baharu ditemui.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, operasi ditamatkan pada pukul 7 petang semalam setelah ia dilaksanakan selama enam hari di kawasan pencarian seluas 1101.62 batu nautika persegi.
“Walau bagaimanapun Maritim Malaysia akan terus melaksanakan pemantauan berterusan melalui rondaan rutin operasi di lapangan dan pemakluman lanjut akan dibuat sekiranya terdapat tanda-tanda baharu penemuan mangsa.
“Operasi pencarian ditamatkan hasil penilaian terhadap situasi semasa pencarian dan persetujuan bersama kesemua agensi terlibat serta ahli keluarga mangsa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Antara agensi yang terlibat dalam operasi ali ini ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Malaysia Resources Cooperation Berhad (MRCB) dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Pahang.
Dalam kejadian Sabtu lalu, mangsa yang kenali sebagai Mohamed Romlan Abdul Rani, 66, dilaporkan keluar ke laut seorang diri bersama bot fiber pada pukul 5 pagi dan sepatutnya pulang ke jeti sekitar pukul 11 pagi pada hari yang sama.
Maritim Malaysia menyeru komuniti maritim yang melakukan sebarang aktiviti di laut untuk sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan dengan memakai jaket keselamatan dan menggunakan peranti Personal Locator Beacon (PLB). – MalaysiaGazette