KUALA LUMPUR – Pengeluaran minyak mentah & kondensat dan gas asli menurun pada suku kedua 2023, masing-masing menyusut 3.3 peratus dan 3.7 peratus kepada 45.5 juta tong

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, penyusutan ini dipengaruhi oleh penurunan berterusan dalam pengeluaran minyak mentah sebanyak negatif 7.9 peratus (ST1 2023: -5.5%).

Sementara itu, kondensat mengekalkan pertumbuhan dua-digit untuk empat suku tahun berturut-turut, walaupun pada kadar yang lebih perlahan iaitu sebanyak 11.3 peratus berbanding 27.0 peratus dalam suku sebelumnya.

Dari segi komposisi, minyak mentah merupakan penyumbang terbesar dengan 72.6 peratus atau bersamaan 33.1 juta tong, manakala kondensat menyumbang 27.4 peratus atau 12.5 juta tong dalam suku kedua tahun 2023.

Sebaliknya, pengeluaran gas asli berjumlah 676.6 bilion kaki padu pada suku ini, menyusut sebanyak 3.7 peratus selepas sembilan bulan dalam trend peningkatan
(ST1 2023: 733.3 bilion kaki padu, 0.6%).

Bagi perbandingan dengan suku sebelumnya, pengeluaran minyak mentah dan kondensat; serta gas asli masing-masing mengalami penurunan sebanyak 5.6 peratus dan 7.7 peratus.

Harga minyak mentah dan kondensat telah menunjukkan trend penurunan untuk empat suku tahun berturut-turut, selepas merekodkan AS$116.5 per tong pada suku kedua tahun 2022.

Pada suku kedua 2023, Harga Purata “Lifting” Berpemberat (WALP) bagi minyak mentah dan kondensat adalah AS$80.5 per tong, lebih rendah daripada
USD85.6 per tong yang direkodkan dalam suku sebelumnya.

Selain itu, harga per tong West Texas Intermediate (WTI) adalah AS$73.8 dan Brent adalah AS$78.3 pada suku ini.

Melihat kepada prestasi perdagangan luar negara, Mohd Uzir berkata, nilai eksport petroleum mentah dan kondensat berkurang kepada
RM6.5 bilion pada suku kedua 2023 (ST1 2023: RM8.3 bilion).

Jepun merupakan negara destinasi eksport utama dengan nilai RM1.7 bilion (25.6%), diikuti oleh Thailand (23.3%) dan Australia (17.2%).

Sementara itu, nilai eksport bagi Keluaran petroleum bertapis meningkat kepada RM35.3 bilion (ST1 2023: RM33.9 bilion), dengan sejumlah RM7.4 bilion atau 21.0 peratus adalah dieksport ke Australia, diikuti dengan Singapura (19.9%) dan Indonesia (14.4%).

Sebaliknya, LNG pula merekodkan nilai eksport yang lebih rendah sebanyak RM12.8 bilion pada suku ini (ST1 2023: RM17.8 bilion) yang mana 43.1 peratus dieksport ke Jepun dengan nilai sebanyak RM5.5 bilion, diikuti oleh China (27.7%) dan Korea (18.2%).

Sementara itu, nilai import bagi petroleum mentah dan kondensat berkembang kepada RM16.8 bilion (ST1 2023: RM14.2 bilion) dengan 56.5 peratus atau RM9.5 bilion dari Arab Saudi.

Manakala Emiriah Arab Bersatu berada di tangga kedua dengan sumbangan 13.5 peratus, diikuti oleh Colombia (4.3%).

Import keluaran petroleum bertapis juga meningkat kepada RM33.3 bilion pada suku ini (ST1 2023: RM31.0 bilion) dengan Singapura menyumbang nilai tertinggi sebanyak RM10.4 bilion (31.1%), diikuti Korea (11.6%) dan China (11.2%).

LNG merekodkan nilai import sebanyak RM1.1 bilion pada suku ini (ST1 2023: RM1.9 bilion) dengan nilai import dari Australia berjumlah RM0.9 bilion atau
80.1 peratus dan Brunei sebanyak 19.9 peratus.. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast