Tok Batin, Uda Ngon melakukan kerja menoreh getah diladang getah yang terletak di Kampung Arong, Chini, Pahang. foto arkib MG

KUALA LUMPUR – Pasaran getah Malaysia diunjur diniagakan dalam jajaran sempit dengan kecenderungan untuk meningkat sedikit minggu depan berikutan jangkaan pelabur bahawa permintaan akan kembali pulih di tengah-tengah situasi bekalan yang ketat.

Bekas Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), Denis Low berkata, pengeluaran perindustrian di China meningkat 4.5 peratus tahun ke tahun pada Ogos dan ini menunjukkan tanda-tanda peningkatan dan penstabilan dalam sektor pembuatan dan ekonomi negara itu.

“Ini petanda baik untuk komoditi kerana lebih banyak aktiviti ekonomi bermakna lebih banyak permintaan untuk getah. Justeru, kami menjangkakan pasaran kekal stabil minggu depan dengan kecenderungan untuk bergerak lebih tinggi sedikit,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, seorang peniaga lain berkata harga getah diramal menjejaki pasaran niaga hadapan getah serantau, prestasi ringgit dan penanda aras harga minyak mentah di tengah-tengah keyakinan meraih keuntungan berikutan prospek penurunan pengeluaran getah asli (NR) ekoran keadaan cuaca basah.

“Pengendali pasaran akan memantau petunjuk ekonomi global dan hasil mesyuarat dasar monetari Rizab Persekutuan minggu depan untuk mendapatkan panduan mengenai hala tuju kenaikan kadar faedah,” katanya.

Sepanjang minggu ini, pasaran getah tempatan diniagakan bercampur-campur seiring dengan prestasi pasaran hadapan getah serantau, selain mengambil petunjuk daripada kenaikan harga minyak mentah dan nilai ringgit berbanding prestasi dolar AS.

Pada asas mingguan, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) susut satu sen kepada 667 sen sekilogram (kg) daripada 668 sen sekg minggu lepas, manakala lateks pukal meningkat 2.5 sen kepada 480 sen sekg daripada 477.5 sen sekg sebelumnya.

Pada 5 petang urus niaga Jumaat, harga rujukan LGM bagi getah fizikal SMR 20 ialah 667 sen sekg manakala lateks pukal 480 sen sekg. – BERNAMA