Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dengan kecenderungan aliran menaik minggu depan berikutan sentimen positif yang berterusan dalam pasaran.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata, sentimen positif dari minggu yang baru berakhir dijangka berterusan di tengah-tengah prestasi minyak soya yang kukuh ditambah dengan kenaikan harga minyak mentah.

“Kami menjangkakan harga MSM akan disokong pada paras RM3,700 dengan paras rintangan dilihat pada RM4,000 minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, syarikat pemeriksa bebas Amspec Agri Malaysia berkata eksport produk minyak sawit Malaysia untuk 1-15 Sept turun 9.3 peratus kepada 574,936 tan daripada 633,585 tan yang dihantar dalam tempoh yang sama bulan lepas.

Data Lembaga Minyak Sawit Malaysia menunjukkan jumlah stok minyak sawit Malaysia melonjak sebanyak 22.54 peratus kepada 2.12 juta tan pada Ogos 2023 daripada 1.73 juta tan pada bulan sebelumnya.

Eksport minyak sawit turun 9.78 peratus, atau 132,522 tan, kepada 1.22 juta tan pada Ogos daripada 1.35 juta tan sebelum ini.

Untuk minggu yang baru berakhir, niaga hadapan MSM diniagakan kebanyakannya lebih tinggi, disokong oleh pemulihan niaga hadapan minyak soya di Lembaga Perdagangan Chicago, ditambah dengan kenaikan harga minyak mentah.

Pada asas mingguan, kontrak September 2023 turun RM40 kepada RM3,690 satu tan, Oktober 2023 susut RM23 kepada RM3,729 satu tan, dan November 2023 merosot RM45 kepada RM3,785 satu tan.

Kontrak Disember 2023 susut RM49 kepada RM3,830 satu tan, Januari 2024 turun RM47 kepada RM3,871 satu tan, dan Februari 2024 merosot RM37 kepada RM3,910 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan melonjak kepada 325,799 lot daripada 270,010 lot pada minggu sebelumnya, dan kepentingan terbuka turun kepada 203,441 kontrak daripada 272,970 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi September Selatan susut RM50 kepada RM3,750 satu tan daripada RM3,800 satu tan pada minggu sebelumnya. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast