Bangunan Bursa Malaysia di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Keyakinan terhadap prospek kadar faedah Amerika Syarikat dan tinjauan ekonomi China yang semakin baik bakal memacu Bursa Malaysia untuk diniagakan lebih tinggi minggu depan.

Ketua Ekonomi dan Pengurus Dana Interpacific Asset Management Bhd Datuk Nazri Khan berkata,  indeks barometer telah berjaya kekal melepasi paras psikologi 1,450 walaupun mempamerkan pergerakan tidak menentu baru-baru ini disebabkan kebimbangan terhadap pendirian dasar monetari Rizab Persekutuan AS.

“Inflasi utama AS meningkat pada bulan Ogos tetapi tindak balas pasaran adalah positif. Umumnya, peniaga menjangkakan Rizab Persekutuan mengekalkan kadar faedah pada mesyuarat dasar minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Rizab Persekutuan akan mengumumkan keputusan kadar faedah  pada 20 Sept dan dijadual bermesyuarat lagi pada 1 Nov dan 13 Dis.

Sementara di dalam negara, beliau berkata kekuatan Bursa boleh dilihat pada saham berharga murah.

“Kami kini melihat sasaran seterusnya FBM KLCI pada 1,480 dan mungkin mencecah paras 1,500 menjelang akhir tahun,” katanya.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng pula berkata kegiatan memburu saham murah dijangka berterusan, membabitkan kaunter minyak dan gas memandangkan harga minyak masih melebihi paras US$90 setong.

“Kami mengunjurkan penanda aras itu akan meneruskan peningkatan minggu depan dan berlegar dalam lingkungan julat 1,440 dan 1,460,” katanya.

Untuk minggu yang baru berakhir, FBM KLCI didagangkan bercampur-campur, menyaksikan pasaran serantau menerima rangsangan daripada langkah China untuk mengurangkan nisbah keperluan rizabnya sebanyak 25 asas dan data ekonominya yang melebihi unjuran.

Jualan runcit China meningkat 4.6 peratus bulan lepas berbanding setahun lalu, manakala pengeluaran perindustrian berkembang 4.5 peratus, mengatasi jangkaan pasaran.

Pada asas Jumaat-ke-Jumaat, FBM KLCI meraih 4.08 mata untuk mengakhiri minggu ini pada 1,459.03 berbanding 1,454.95 seminggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 44.25 mata kepada 10,771.17, Indeks FBMT 100 mengukuh 42.81 mata kepada 10,444.79 dan Indeks FBM Emas Syariah melonjak 123.80 mata untuk mencatatkan paras 11,011.35.

Indeks FBM ACE naik 20.67 mata kepada 5,209.50 manakala Indeks FBM 70 peroleh 116.11 mata kepada 14,251.83.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian mengembang 1.74 mata kepada 174.48, Indeks Tenaga menambah 38.39 mata kepada 893.86 dan Indeks Perladangan meningkat 173.06 mata kepada 7,037.21.

Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 96.45 mata kepada 16,330.23.

Jumlah dagangan mingguan menyusut menjadi 15.17 bilion unit bernilai RM12.02 bilion berbanding 18.03 bilion unit bernilai RM10.77 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 10.70 bilion saham bernilai RM10.96 bilion berbanding 13.14 bilion saham bernilai RM9.61 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan waran berkurangan untuk mencatatkan sebanyak 1.73 bilion unit bernilai RM252.61 juta daripada 1.79 bilion unit bernilai RM254.14 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula turun kepada 2.72 bilion saham bernilai RM645.46 juta berbanding 3.06 bilion saham bernilai RM898.15 juta sebelumnya. – BERNAMA