Lim Kit Siang Sian See Annuar China
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang berkata, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) seharusnya ditubuhkan bagi mengukur pencapaian matlamat dan prinsip Rukun Negara sepanjang 53 tahun lalu.

Menurut beliau, Rukun Negara yang diisytiharkan pada Hari Kebangsaan 1970 bertujuan memastikan keseimbangan antara kaum, kestabilan serta perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Kit Siang berkata, RCI tersebut perlu menilai perkembangan dan hasil proses penerapan matlamat serta prinsip Rukun Negara terhadap setiap rakyat.

“Dan juga sama ada menteri Kabinet, ahli-ahli Parlimen dan kerajaan-kerajaan negeri menerima dan mendukung kesemua lima matlamat dan prinsip Rukun Negara dalam usaha membina negara,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Malaysia ke-60, hari ini.

Beliau menambah, ia turut membabitkan usaha mengekang isu agama, raja dan kaum (3R) yang telah memecahbelahkan rakyat yang berbeza kaum, agama dan budaya.

Selain itu, katanya, perlu ada keazaman dan misi nasional untuk menjadikan Malaysia sebagai negara contoh dari segi kepelbagaian kaum, bahasa, agama dan dialog pelbagai budaya serta masyarakat yang saling memahami, bertoleransi dan harmoni. – MalaysiaGazette