Mohd Jafni Md Shukor ketika menjawab soalan lisan dalam sidang DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Projek Sakit dan Terbengkalai (JSTP) menyasar untuk menyelesaikan lima projek sakit serta satu projek terbengkalai melibatkan 1,776 unit dengan nilai hartanah RM682.66 juta, tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, JSTP yang merupakan satu jawatankuasa khas menangani isu tersebut, melibatkan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ), 16 Pihak Berkuasa Tempatan serta semua agensi teknikal.

“Dalam tempoh tahun 2022, 2023 dan menjelang 2024, nilai hartanah projek sakit dan terbengkalai yang telah dan akan diselesaikan akan mencecah kepada RM1 bilion,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi tahun 2022 dan 2023, Mohd Jafni berkata kerajaan negeri berjaya menyelesaikan enam projek sakit melalui kaedah intervensi melibatkan 1,073 unit kediaman dengan nilai hartanah RM260.75 juta.

Beliau berkata, ia termasuk satu lagi projek terbengkalai yang dijangka selesai hingga ke peringkat Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) serta serahan kunci, menjelang Oktober depan.

Semalam, Mohd Jafni dilapor berkata Enakmen PKPJ 1976 dipinda bagi memperkukuhkan lagi peranan agensi itu dalam tadbir urus perihal berkaitan perumahan awam, rumah mampu milik dan hartanah Bumiputera, di negeri itu. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast