Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (tengah) bersama semua AJK, kepimpinan sayap dah ahli-ahli UMNO Pekan membuat laporan Polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan, petang semalam.

PEKAN – UMNO Pekan mendakwa Peguam Negara dan pegawai kerajaan terlibat telah menyalahgunakan kuasa dengan mengemukakan tuduhan terhadap Datuk Seri Najib Razak tanpa sebarang asas undang-undang atau fakta bagi tujuan politik.

Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Mohammad Fakruddin Mohd Ariff berkata, tindakan tersebut telah menyebabkan mudarat dan mendatangkan fitnah, sekali gus dilihat sebagai penganiyaan politik kepada bekas Perdana Menteri itu.

Menurut Fakharuddin, pihaknya telah membuat laporan polis di bawah Seksyen 167 Kanun Keseksaan berkaitan penyediaan dokumen yang salah iaitu tuduhan dan izin untuk mendakwa oleh Peguam Negara dengan niat jenayah menyebabkan kecederaan terhadap Najib.

”Laporan Polis berkenaan kesahihan dokumen yang didakwa memo dalaman Jabatan Peguam Negara bertarikh 10 Oktober 2019 oleh Datuk Jamil Bin Aripin, pendakwa utama kes ‘IPIC’ melibatkan tuduhan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini sedang dihadapkan ke mahkamah tinggi bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

”Memo tersebut dialamatkan kepada bekas Peguam Negara, Tommy Thomas di mana beliau memberitahunya bahawa tuduhan terhadap Datuk Seri Najib adalah tidak berasas dan seharusnya dibatalkan. Pandangan ini dikongsi oleh seluruh pasukan pendakwaan IPIC,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

Selain itu, memo tersebut katanya, menunjukkan tuduhan terhadap Najib dibuat sebelum sebarang siasatan yang sewajarnya dijalankan.

Tambahnya, meskipun siasatan dijalankan selepas tuduhan dilakukan ke mahkamah, tiada seorang daripada 138 saksi yang ditemubual menyokong tuduhan tersebut.

”Berdasarkan penemuan ini, saya percaya Peguam Negara dan ahli-ahli kerajaan pada masa itu telah menyalahgunakan kuasa mereka dengan mengemukakan tuduhan tanpa sebarang asas undang-undang.

”Timbalan Pendakwaraya, Muhamad Saifuddin Hashim Musaimi dilaporkan oleh media hanya menjawab ’tiada komen’ apabila diajukan soalan tentang memo dalaman ini oleh Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin semasa prosiding sebutan kes ini di mahkamah pada hari 15 September 2023 lalu,” ujarnya.

Fakhruddin juga percaya bahawa terdapat kesalahan lain dalam Kanun Keseksaan dan Akta SPRM 2009 yang boleh disiasat oleh pihak berkuasa. – MalaysiaGazette