KUALA LUMPUR – Sebanyak 6,519 saman dikeluarkan pada hari kedua pelaksanaan Op Hormat Undang-Undang Jalan Raya (HUU) Polis Kuala Lumpur fasa dua di ibu negara, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kesalahan tertinggi yang direkodkan adalah berkaitan halangan lalu lintas dengan 4,819 saman dikeluarkan.
Manakala, kesalahan kenderaan di laluan pejalan kaki atau garisan putih (247), tiada lesen memandu (194), nombor pendaftaran (76), tidak patuh lampu isyarat merah (53) dan lain-lain (1,213).
“Operasi itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang turut mengeluarkan 85 saman,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Saifuddin berkata, sembilan motosikal turut disita sepanjang operasi berkenaan.
“Kami turut melakukan lapan tangkapan atas pelbagai kesalahan seperti kes dadah dan memandu dalam keadaan mabuk,” katanya.
Pada Rabu lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk, Allaudeen Abdul Majid dipetik berkata, operasi fasa kedua itu akan tertumpu di 16 lokasi berbeza sekitar ibu negara sepanjang tempoh pelaksanaan terbabit bermula 15 hingga 29 September nanti.
Operasi penguatkuasaan yang lebih tegas akan memfokuskan tujuh jenis operasi iaitu Op Parkir Haram, Op Halangan, Op Lampu Merah, Op Nombor Pendaftaran, Op Cermin Gelap, Op Motosikal dan Op Didik. – MalaysiaGazette