Fuziah Salleh

KUALA LUMPUR – Bagi membantu rakyat yang kini terbeban dengan kenaikan harga beras tempatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menganjurkan program Jualan Rahmah Beras.

Menurut Timbalan menterinya, Fuziah Salleh, satu program jualan bagi beras tempatan akan dijalankan esok.

“Esok kita akan lancar Jualah Rahmah Beras di mana rakyat akan dapat beras dengan harga diskaun dan subsidi oleh kerajaan dibawah KPDN,” katanya.

Fuziah berkata demikian dalam sesi penggulungan KPDN bagi laporan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke 12 (RMK-12) hari ini.

Langkah itu jelas Fuziah setelah mendengar rungutan rakyat yang kecewa dengan kenaikan mendadak harga beras putih tempatan.

Dalam pada itu, KPDN akan mengumumkan mengenai mekanisme berkaitan pelancaran program itu tidak lama lagi.

“Sebenarnya berkenaan kawal selia padi dan beras kita semua tahu ia di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM). KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) tiada kuasa mengawal pun, harga pun tak.

“Tetapi hari-hari kita dengar rintihan rakyat maka KPDN cuba cari jalan bagaimana dalam ruang lingkup bidang kuasa kita boleh menyelesaikan isu kenaikan harga beras import dan tiada beras tempatan seperti didakwa,” katanya lagi.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menegaskan harga beras tempatan tidak akan mengalami kenaikan meskipun harga beras import dari India meningkat sebanyak 40 peratus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast