KUALA LUMPUR – Penunggang motosikal yang merempuh seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hingga mengalami kecederaan dalam kejadian semalam direman selama empat hari bermula hari ini.
Reman ke atas lelaki berusia 25 tahun itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Port Dickson, Othman Abd Ghani, lapor Harian Metro Online.
Terdahulu, suspek di bawa ke mahkamah berkenaan pagi tadi dengan memakai baju lokap polis warna oren.
Suspek dibawa menggunakan kenderaan polis dengan dikawal ketat beberapa anggota pihak berkuasa itu.
Dalam kejadian semalam, seorang anggota JPJ, Muhammad Nur Hakim Mohd Razip, 29, mengalami kecederaan selepas dirempuh suspek yang melanggar sekatan jalan raya raya (SJR).
Dalam kejadian pukul 11 pagi itu, Muhmaamd Nur dirempuh suspek yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y125ZR ketika sedang melakukan Operasi Penguatkuasaan SJR di Kilometer 28, Lebuhraya Seremban-Port Dickson menghala Port Dickson.
Akibat rempuhan itu anggota terbabit mengalami kecederaan pada bahagian otot leher, kepala dan bengkak tangan serta kaki.
Hasil siasatan Bahagian Penguatkuasa JPJ Negeri Sembilan, penunggang motosikal terbabit mempunyai dua rekod senarai hitam yang masih aktif dan telah diambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Antara kesalahan-kesalahan yang dilakukan adalah lesen kenderaannya tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, tiada lesen memandu kompetan dan sitaan motosikal yang ditunggang dibuat di bawah Seksyen 64 (1) APJ 1987. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: