KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor meminta polis melakukan siasatan ke atas seorang pengguna Tiktok yang didakwa membuat hantaran jelik bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meninggal dunia.
Ketuanya, Mohd Izuan Ahmad Kasim berkata, provokasi yang dilakukan individu yang berasal dari Negeri Sembilan itu telah tular di laman media sosial sejak semalam, namun telah dipadamkan malam tadi.
“Kami menyedari posting berkenaan ditularkan menerusi beberapa ahli AMK lain yang dipercayai dikeluarkan oleh seorang pemilik akaun berasal dari Negeri Sembilan.
“Kandungan hantaran berdurasi 14 saat itu menunjukkan wanita itu mengaku dia telah menghina Perdana Menteri dan tanpa segan silu meminta mana-mana individu yang tidak berpuas hati dengan kenyataan itu boleh menghubunginya yang berbunyi ‘Ya, saya hina Anwar, tak puas hati? Boleh call saya 0176271588.
“Di sebelah gambar itu wanita terbabit meletakkan paparan bertulis Al-Fatihah dan Salam Takziah berserta gambar Perdana Menteri,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, hari ini.
Sementara itu, Exco AMK, Mohd Afiq Ayob berkata, perbuatan wanita itu adalah biadabdan ia tidak memberi mmanfaat kepada masyarakat.
“Kami tampil membuat laporan hari ini dengan menyerahkan segala bukti video itu serta tangkap layar video itu kepada polis selaku pihak berkuasa berwajib menjalankan siasatan dan mengambil tindakan berlunaskan undang-undang yang ditetapkan.
“Jika video hina yang dibuat oleh seorang dua seperti individu berkenaan tidak diambil tindakan sewajarnya, ia boleh merebak luas dan boleh mempengaruhi generasi muda kita,” katanya
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi berkata, perkara itu telah dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette