Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi menunjukkan dadah jenis ganja yang bernilai RM56,839 yang berjaya dirampas pihak polis ketika di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 19 SEPTEMBER 2023.

SHAH ALAM – Dua sindiket memproses dadah dan lima sindiket pengedaran dadah tumpas dalam beberapa operasi berasingan yang dilakukan polis di sekitar Lembah Klang selama 10 hari bermula 8 September lalu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, dalam operasi tersebut pihaknya merampas dadah bernilai RM12.8 juta untuk kegunaan 1.94 juta penagih sekitar Lembah Klang dan luar negara, khususnya Asia Tenggara.

“Dua makmal dadah yang diserbu adalah di Setia Alam dan Puchong.

“Dadah yang dirampas adalah heroin base (40,661 gram; heroin (725 gram); meth oil (365.62 kg); methamhetamine atau syabu (25,444 gram); ganja (18,335); kokain (4,270 gram) dan ketamin (45,400),” katanya ketika sidang media, di sini, hari ini.

Menurut Sasikala, turut disita pelbagai jenis kenderaan, barang kemas, jam tangan dan wang tunai berjumlah RM596,912.

Tambah beliau, dalam semua serbuan seramai 14 individu ditangkap berumur lingkungan 21 hingga 42 tahun direman selama tujuh hari bermula semalam.

“Suspek yang ditangkap adalah lelaki India (empat); lelaki Melayu (empat); seorang lelaki Cina, dua perempuan Melayu, seorang lelaki warga Sri Lanka dan seorang wanita warga Thailand.

“Empat suspek mempunyai rekod lampau dan salah seorang berstatus dikehendaki,,” katanya.

Dalam pada itu, Sasikala berkata, semua kes serbuan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Terdahulu beliau berkata, serbuan selama 10 hari itu digerakkan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontijen Selangor, JSJN Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Ibu Pejabat Polis Daerah Bukit Puchong. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast