Syarul Ema Rena Abu Samah.

KUALA LUMPUR – Penyelia Kandungan Tik Tok Pro Perikatan Nasional Syarul Ema Rena Abu Samah atau lebih dikenali sebagai Ratu Naga meluahkan rasa kekecewaannya kerana dipanggil dan disiasat oleh polis berkaitan Himpunan Aman Selamatkan Malaysia yang berlangsung pada 16 September lalu.

Katanya, sesiapa sahaja sewajarnya berhak untuk bersuara dan meluahkan pendapat masing-masing asalkan tidak melanggar undang-undang yang termaktub di negara ini.

“Siapa-siapa sahaja boleh cakap atas mana-mana platform, tak kisah sosial media ke atau di luar asalkan dia tidak melakukan apa apa jenayah atau masalah.

“Dahulu  PM kita yang memperjuangkan kebebasan bersuara, dia pun juga banyak terlibat pelbagai demonstrasi, tapi hari ini saya tak nampak fungsi dia dan kenapa hari ini perhimpunan aman pulak ramai yang dipanggil untuk disiasat… so saya tidak nampak sebarang kerelevanan dalam perkara ini,” katanya ketika ditemui pemberita di ibu negara.

Beliau berkata demikian selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi ditemani peguamnya Zaid Malek jam 10.15 pagi tadi untuk dirakam percakapan oleh polis

Dia memberitahu, polis telah merakam percakapannya berdasarkan lima muka surat soalan oleh pegawai penyiasat dan telah memberi kerjasama penuh untuk proses siasatan tersebut.

“Saya dimaklumkan oleh pegawai penyiasat bahawa hanya satu siasatan terhadap saya dan saya juga diberitahu polis akan lengkapkan kertas siasatan dan akan memanggil semula sekiranya ada keperluan nanti,” katanya lagi.

Dalam pada itu peguamnya Zaid berkata, siasatan ke atas Ratu Naga dan mereka yang menyertai Himpunan Aman berkenaan adalah satu bentuk intimidasi yang tidak seharusnya dibenarkan.

Katanya, siasatan ke atas Ratu Naga yang juga bekas ahli PKR dibuat di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012, sebenarnya tidak sah dan melanggar Perlembagaan Persekutuan.

“Siasatan polis di bawah Seksyen 9(5) tetapi tiada asas undang-undang, polis tak boleh buat sebegini.

“Saya juga meminta kerajaan agar memastikan polis tidak seharusnya bertindak dalam perkara ini tanpa berlunaskan undang-undang.

“Mana-mana pihak yang di luar sana jikalau anda dipanggil polis untuk siasatan berkenaan himpunan aman jangan khuatir kerana saya bersedia untuk mewakili anda semua,” tegasnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast