Pihak Bomba sedang membantu mengeluarkan kaki budak berusia sembilan tahun yang tersangkut dalam lubang tandas.

KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menahan sakit hampir sejam selepas kaki kanannya tersangkut dalam lubang tandas di kediamannya di Balakong, malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung perkara itu pada pukul 8.36 malam.

Seramai lima anggota dan sebuah jentera keluaran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan itu.

“Setibanya di lokasi, pihak bomba mendapati kejadian membabitkan kaki kanan seorang budak lelaki berusia sembilan tahun tersangkut di dalam lubang tandas.

“Anggota bomba berjaya dikeluarkan pada pukul 9.11 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ahmad Mukhlis, mangsa diserahkan kepada keluarga untuk tindakan lanjut.- MalaysiaGazette